18 Oktober 2009

Pembangunan Modal Insan

Salam pengenalan buat semua. Semoga anda sekalian sentiasa berbahagia di dunia ini.
Namun begitu kehidupan di dunia ini hanya sementara sahaja.
Untuk itu kita perlu mencari jawapan kepada persoalan-persoalan berikut:
1. Siapa diri kita yang sebenarnya?
2. Dari mana kita datang?
3. Mengapa kita diwujudkan?
4. Bagaimana harus kita menjalani kehidupan ini?
5. Ke mana akhirnya kita akan pergi?

Manusia adalah makhluk yang dijadikan dengan sebaik-baiknya oleh Yang Maha Pencipta. Manusia terdiri daripada jasmani (fizikal), nafsu (emosi), rohani (spiritual) dan akal (intelek). Keempat-empat komponen ini wujud bersama dan saling bergantung (interdependent).
Kita perlu membangunkan semua komponen tersebut secara bersepadu dan seimbang. Inilah peranan kita dalam Pembangunan Modal Insan (PMI). Modal yang hendak disediakan ini bukan sekadar untuk kehidupan di dunia sahaja tetapi yang lebih penting sebagai bekalan untuk kehidupan yang abadi di akhirat nanti.

Manusia diwujudkan sebagai hamba Allah yang perlu mengabdikan diri kepada-Nya. Bagi memakmurkan alam ini manusia berperanan sebagai khalifah (pengurus dan pentadbir).
Oleh yang demikian setiap orang daripada kita seharusnya menyumbang kepada PMI sama ada peringkat individu, keluarga, masyarakat setempat, negeri, negara, planet bumi ini mahupun alam sarwajagat.

Insyaallah perbincangan ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang... jumpa lagi!